Lahir lebih ramai imam muda
KUALA TERENGGANU 16 Mei - Pusat Tahfiz Al-Quran milik Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) yang akan dibuka di Jerangau, Dungun tahun depan bakal melahirkan lebih ramai imam muda daripada kalangan anak yatim di negeri ini.
Yang Dipertua Perkaya, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, ini kerana dengan adanya pusat tahfiz seluas kira-kira 0.6 hektar itu, anak-anak yatim berpeluang mendalami ilmu agama dengan lebih selesa.
Katanya, pusat tahfiz yang dibina di atas tanah wakaf milik bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Awang Jabar itu turut dilengkapi sebuah kompleks termasuk kolam renang, kolam ikan, dewan dan bilik untuk kemudahan tetamu.
"Sebelum ini, tempat tersebut merupakan pejabat wakil rakyat ketika arwah masih menjadi Ahli Parlimen Dungun.
"Bagaimanapun setelah isterinya iaitu Datin Mariam Abdullah memutuskan untuk mewakafkan tanah itu kepada Perkaya, kita bercadang menambah satu blok bangunan tiga tingkat di situ yang akan menelan belanja RM400,000 bagi menampung kira-kira 150 pelajar di situ," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak-Anak Yatim untuk 625 murid tahun tiga dan enam dari sekolah-sekolah rendah dalam daerah Kuala Terengganu Utara dan Selatan di Kediaman Seri Iman di sini hari ini.
Hadir merasmikan majlis tersebut ialah isteri kepada Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Norliza Mahmud.
Jelas Tengku Mahmud, sebagai permulaan, seramai 20 pelajar lelaki akan ditempatkan di pusat tahfiz itu mulai 1 Januari tahun depan.
"Apabila siap bangunan tambahan yang dijangka mula dibina penghujung tahun ini, kita akan membuat pengambilan kedua yang juga seramai 20 orang pada tahun berikutnya," ujar beliau.
Dalam pada itu, Tengku Mahmud berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi menubuhkan jawatankuasa tabung derma untuk pusat tahfiz itu beberapa hari lagi.
Sumber: Utusan Malaysia |