Promosi Web
Terengganu @Webmail
Jabatan Perdana Menteri
Pejabat Menteri Besar
Parlimen Malaysia
Laman Web Rasmi Kerajaan Malaysia
MAMPU
Jabatan Perkhidmatan Awam
Renungan

"Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya"

 


Bilangan pelawat
Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454Bilangan pelawat: 0000913454

Kategori:UMUM
 

APABILA pihak berkuasa Indonesia akhirnya membuka semula peluang kepada para majikan di negara ini untuk menggunakan perkhidmatan bibik mereka pada mulanya ramai bakal majikan menarik nafas lega.

Kerana perkhidmatan domestik ini sudah sampai ke satu tahap yang disifatkan sebagai kritikal.

Namun apabila diperhalusi segala prasyarat yang dikenakan kepada bakal majikan di negara ini, kita seolah-olah diperbodohkan. Bayangkanlah, tenaga kerja yang dihantar ke negara kita bukanlah daripada gred A atau B tetapi gred C ke bawah tetapi prasyarat yang dikenakan pula melebihi super gred.

Ia satu perilaku seperti orang menolak pinangan dengan 'berlapik'. Ibaratnya kita kini seperti hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong. Orang tak sudi kita yang beria-ia memujuk dan merayu simpati.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa, bakal majikan, dan kementerian yang berkaitan dengan buruh dan sumber manusia malah institusi pengajian tinggi, NGO dan pihak berkepentingan untuk duduk semeja memikirkan isu ini secara serius. Ini kerana impak yang mungkin timbul hasil daripada kekurangan bekalan tenaga kerja pembantu rumah ini sebenarnya lebih besar daripada yang boleh kita fikirkan secara sepintas lalu semata-mata.

Mari kita luangkan sedikit waktu untuk memberikan perhatian mengenai apa yang bakal berlaku sekiranya perkara ini berterusan dan kemudiannya kita usahakan satu pendekatan pintar yang boleh kita laksanakan bagi mengatasi masalah ini secara tuntas ke akar umbi supaya hasrat negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 akan berjaya dicapai tanpa sebarang halangan.

Sebenarnya, masalah pembantu rumah ini jika kita biarkan berterusan akan mewujudkan 'bencana' dalam skala besar dan berjangka julat waktu yang panjang. Kerana semuanya faham bahawa kehidupan berkeluarga, membesarkan anak-anak dalam suasana yang kondusif adalah menjadi prasyarat dalam menzahirkan generasi baru yang mantap, berilmu dan bersifat manusiawi.

Kerana itu, suasana yang sempurna, didikan yang sistematik, keluarga yang stabil, rumah tangga yang bahagia adalah antara komponen dalam membentuk masyarakat madani. Malah, suasana rumah tangga yang tenteram selalunya memberi impak yang amat besar dalam proses tumbesaran anak-anak generasi Y ketika ini.

Generasi kini amat terdedah dengan pelbagai cabaran di peringkat global tanpa sempadan yang sudah tentu tidak serupa dengan yang dihadapi oleh generasi X sebelumnya.

Cabaran ibu bapa yang bekerja kerana kos sara hidup yang meningkat keterlaluan menyebabkan isu pembantu rumah berubah daripada kehendak kepada 'keperluan wajib'. Manakan tidak, jika mahu dihantar ke pusat penjagaan bayi dan tadika sekalipun kos yang terpaksa ditanggung dan masa untuk menghantar dan mengambil sudah cukup memeningkan kepala. Ini belum termasuk isu-isu lain seperti pengabaian, nahas di tempat penjagaan, nursery tidak berlesen dan pelbagai macam kerenah lagi.

Kemudian, perkara ini menjadi lebih besar apabila menimbulkan tekanan kepada ibu bapa yang bekerja kerana masalah penjagaan anak. Akhirnya, ia bertimbun semakin lama bayi itu pula membesar dalam keadaan tidak cukup kasih sayang lantaran dibesarkan di pusat jagaan semata-mata dan pulang ke rumah pula ibu bapa sudah keletihan.

Cuba renung apa yang bakal kita hadapi dalam tempoh yang relatif tidak lagi panjang. Tentunya satu generasi baru yang bakal terbentuk yang mempunyai sikap nafsu-nafsi atau hanya pentingkan diri sendiri kerana proses didikan dan pendedahan terhadap institusi kekeluargaan dan kasih sayang kepada keluarga yang tidak lagi kukuh.

Akhirnya, isu pengabaian jagaan ibu bapa, pertelagahan, sikap benci malah tidak mempunyai perasaan kasih sesama saudara bakal berlaku. Kita bakal melihat suasana hubungan tegang, pergaduhan sesama saudara tentunya bakal meningkat kerana kurangnya jalinan sentimental antara mereka.

Pada masa yang sama, tenaga kerja wanita yang terlatih dan profesional mungkin terpaksa dikeluarkan atau berhenti berkhidmat dalam pasaran. Kos pendidikan yang dibazirkan bagi melatih kumpulan ini tidak dapat dikembalikan. Malah kepakaran yang dimiliki mereka terpenjara dalam jurang sempit sekitar rumah tangga sahaja.

Akhirnya tentu kepakaran yang dimiliki tidak lagi berkembang dan mampu digunakan. Alangkah malangnya negara yang bukannya semakin maju dan laju mengejar impian sebaliknya terheret dalam pelbagai masalah yang tentu akan memberikan impak buruk daripada kebobrokan sosial, kemerosotan kemahiran malah mungkin ekonomi bakal merudum.

Lihatlah betapa hebatnya rantaian impak perkara yang kita fikirkan remeh yakni isu pembantu rumah atau khususnya bibik Indonesia ketika ini.

Oleh kerana itu, sudah tiba masanya satu tindakan yang kukuh mesti dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah ini secara total. Bukan seperti melepaskan batuk di tangga dan masing-masing cuba mengelak untuk dilibatkan dengan isu ini.

Mari kita tinjau atau cuba teliti dengan berhati-hati dan minda terbuka bagaimana agaknya penyelesaian yang dapat dicari bagi mengatasi masalah ini secara yang bestari tanpa berharap dan merayu lagi kepada jiran kita itu.

Pilihan boleh dibuat dan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang perlu diwujud serta dilaksanakan serta-merta. Maka antaranya yang difikirkan munasabah adalah dengan memberikan peluang kepada pembekal tenaga pembantu rumah dari negara-negara lain yang berjiran. Antaranya Thailand, Vietnam, Myanmar, Laos, India dan China. Malah tidak terkecuali juga peluang boleh diberikan kepada Sri Lanka, dan Filipina.

Dengan pendekatan jangka pendek ini kita sebenarnya akan memenangi perang psikologi dengan strategi Sun Tze kepada mereka yang memahaminya. Kita sudah menang tanpa berperang dan kita tentunya dapat memaparkan bahawa tanpa bibik pun kita masih mampu meneruskan agenda.

Untuk jangka panjang pula satu pelan yang komprehensif perlu diadakan. Banyak cara sebenarnya dan banyak model yang boleh kita bina dalam mengatasi cabaran ini. Antaranya dengan menyepadukan sistem pendidikan, pemeliharaan dan pembangunan sumber manusia di sebuah kompleks khusus.

Sistem yang dibangunkan ini perlu mempunyai modul dan model khusus yang bermula daripada pengangkutan, penjagaan, pendidikan dan pembangunan modal insannya secara total. Perlu dirangkaikan model berkenaan berasaskan keperluan-keperluan berkenaan semenjak bayi bangun daripada tidur, di hantar ke pusat jagaan, dijaga, diberi kasih sayang, dilatih, dididik, dibangunkan potensi mereka, sehingga hubungan manusiawi antara mereka dan ibu bapa yang sibuk bekerja akan menjadi lebih harmoni.

Perbincangan meja bulat, pendekatan bersepadu dan pelan tindakan khusus amatlah penting dalam menjayakan program atau projek ini. Kepakaran tempatan sebenarnya sudah lebih daripada mencukupi untuk membangunkan agenda besar negara bagi menangani ancaman 'bencana' kemanusiaan di negara kita dewasa ini.

Para pakar kena membuang topi ilmiah jauh ke tepi kerana ilmu itu tidak memungkinkan kepala kita berfikir secara kreatif dan menggunakan pelbagai arah pendekatan. Kejumudan para akademik selalunya menghadkan ruang untuk mencari strategi yang baru yang lebih efektif kesannya tanpa sebarang jargon pelik akademik yang kadangkala menghantui pelaksanaan program berkaitan.

Para pentadbir, penguasa dan penggaris polisi, cuba renung dan fikirkan dengan molek, masak dan tawaduk bahawa sekiranya kita gagal untuk menyelesaikan masalah yang difikirkan remeh ini, kita sudah pasti akan berhadapan dengan 'bencana' besar yang apabila disedari sudah menjadi terlewat untuk di atasi.

Lantas, bermuhasabah dan saling bantu membantu untuk memikirkan cara dan memudahkan prosedur supaya kita lebih selesa dan bersedia dengan sebarang kemungkinan hasil daripada tindakan kurang cerdik negara jiran kita itu.

Ingatlah setiap musibah, masalah dan penyakit yang diturunkan, pada masa yang sama diturunkan juga oleh Pencipta bersamanya kurniaan ArRahman dan ArRahim yang sangat banyak dan tidak berkesudahan.

sumber: utusan malaysia (rencana)

Lampiran:Tiada rekod