| | | LHDN terima 2.35 juta borang e-filing
KUALA LUMPUR: Kesedaran orang ramai terhadap tanggungjawab membayar cukai kian meningkat terutama melalui sistem dalam talian atau e-filing apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 2.35 juta borang cukai pendapatan Tahun Taksiran 2011 berbanding 1.97 juta bagi tahun sebelumnya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim, berkata borang berkenaan diterima sepanjang tempoh pembayaran ditetapkan sehingga semalam, iaitu tarikh akhir penghantaran borang taksiran bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan.
Katanya, ini menunjukkan kian ramai melaksanakan tanggungjawab membayar cukai melalui kaedah e-filing berbanding hanya 189,330 pada awal pengenalannya kerana ia dianggap lebih fleksibel, cepat serta mudah.
“Dengan peningkatan orang ramai membayar cukai pendapatan melalui e-filing, LHDN menyasarkan 2.5 juta borang diterima bagi Tahun Taksiran 2012,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Masrun berkata, orang ramai yang masih belum membayar cukai pendapatan diminta melakukannya secepat mungkin bagi memastikan tanggungjawab dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, selepas tempoh pembayaran cukai pada 15 Mei 2012, orang ramai akan dikenakan penalti lewat hantar, mengikut jenis borang dan tempoh penyerahan.
Sumber: Berita Harian |