JOHOR BAHRU 9 Mac – Kerajaan memperuntukkan lebih RM6 bilion bagi membiayai kos pelarasan gaji kira-kira 1.4 juta penjawat awam antara tujuh hingga 13 peratus seperti yang diumumkan semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan tambahan itu termasuk membayar Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) yang turut dinaikkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Kita terpaksa sediakan peruntukan tambahan sedikit sebab kita pentingkan golongan penjawat awam yang dikatakan sebagai kategori pelaksana dan dahulunya dipanggil kumpulan sokongan serta mempunyai keanggotaan besar.
“Pada kali ini kerajaan berikan kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus sehingga ke Gred 54,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Taman Molek, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengajian Tinggi dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Diminta mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa keputusan kerajaan membatalkan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kerana bantahan oleh wakil rakyat pakatan pembangkang, Najib berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali.
“Tak ada, tak ada. Rujuk ucapan Belanjawan 2012 yang saya bentang pada Oktober 2011, saya beri komitmen bahawa penjawat awam akan mendapat pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.
“Tetapi apabila SBPA digubal... maka ia tergelincir daripada tafsiran yang saya umumkan dalam belanjawan tersebut, sebab itu kerajaan kembali semula (kepada SSM). Ini tak ada kena-mengena dengan pakatan pembangkang. Biasalah lembu punya susu (sapi dapat nama),” katanya sambil ketawa.
Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan yang diumumkan beliau semalam juga adalah langkah untuk menunaikan janji seperti yang dibentangnya dalam Belanjawan 2012.
Pelarasan gaji yang berkuat kuasa 1 Januari lalu itu turut melibatkan jadual gaji matriks diubah suai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan tahunan RM80 hingga RM320 bagi Gred 1 hingga 54 serta COLA dinaikkan kepada RM250 sebulan daripada RM200 bagi kawasan B dan RM150 berbanding RM100 bagi kawasan C.
Mengenai sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) sempena lawatannya kali ini, Najib yakin Johor kekal menjadi ‘teras’ BN.
“Kita boleh ‘rasa’. Namun saya telah beritahu kepada Datuk Ghani, Datuk Khaled dan pemimpin lain bahawa kita perlu bekerja lebih keras dan lakukan ‘engagement’ dengan semua lapisan masyarakat di Johor dan seluruh negara.
“Dengan pendekatan dan keterbukaan dan cara yang berhemah serta rendah diri, saya percaya kita boleh yakinkan rakyat untuk terus menyokong BN,” katanya.
sumber: utusan malaysia
|