Kejohanan Menembak ADUN

Ditulis pada .

SETIU, 4 April - Pasukan yang diwakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dinobatkan juara bagi kategori jatuhan piring dalam Kejohanan Menembak Antara Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, hari ini.

Pasukan yang turut diwakili Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Ketua Polis negeri, Dato' Aidi Ismail, Timbalan Mufti negeri, A. Hadi Othman serta Ketua Polis Daerah Setiu, Zulkifli Mat Deris itu melakukan jatuhan piring dalam masa 22.65 saat sekali gus menewaskan 10 pasukan lain.

Kejohanan anjuran DUN dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) negeri dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu diadakan di Lapang Sasar Lembah Bidong, di sini, sempena Penggal Kedua Persidangan DUN Terengganu Keempat Belas yang berakhir hari ini.

Hadir sama menyertai kejohanan ialah ADUN-ADUN, pegawai-pegawai kanan PDRM, MSNT dan Persatuan Menembak Negeri Terengganu.

Turut mencuri tumpuan, mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang bersaing dalam acara tersebut, namun pasukannya hanya menduduki tempat ketiga setelah tewas tipis kepada pasukan Dr. Samsuri.

Dr. Samsuri dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas penganjuran kejohanan tersebut dan menyifatkan ia mencapai objektif sebenar ia diadakan.

“Tujuan utama kita ialah untuk merapatkan silaturrahim antara pemimpin-pemimpin dalam negeri dan objektif ini berjaya dengan aktiviti santai ini.

“Terima kasih juga kepada kaum wanita yang turut menyertai kejohanan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yahaya sebagai penganjur kejohanan turut memaklumkan, kejohanan tersebut bakal diadakan setiap kali sidang DUN bagi tahun ini.

“Bukan soal juara yang kita utamakan. Program ini diadakan bagi meningkatkan hubungan ukhuwah sesama kita selepas bersidang.  

“Selain kejohanan boling yang diadakan tahun lalu, acara menembak ini menjadi salah satu aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak DUN,” katanya.

Kejohanan tersebut disertai oleh 59 peserta lelaki dan 28 peserta perempuan dalam dua kategori iaitu acara berpasukan jatuhan piring dan individu Central Fire (target).

Bagi kategori lelaki, individu Central Fire dimenangi oleh ahli Persatuan Menembak negeri, Amairuddin Alias.

Manakala, kategori perempuan dimenangi oleh isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, To’ Puan Aida Tengah.

Program Retreat DITC

Ditulis pada .

KEMAMAN, 21 FEBRUARI - Pejabat Dewan Undangan Negeri telah mengadakan Program Pemantapan Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan Undangan Negeri pada 21 Februari hingga 23 Februari bertempat di Darul Iman Training Centre (DITC).

Yang Dipertua Dewan ingin merakamkan penghargaan dan ucapan berbanyak terima kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Setiausaha DUN, Ahli-ahli Panel dan semua pegawai dan kakitangan yang terlibat sama ada secara lansung atau tidak lansung dalam menjayakan Program Pemantapan DUN Terengganu yang berakhir tadi.

   

Dengan adanya program seperti ini banyak maklumat dan informasi yang dapat dikongsikan dan dibincangkan bagi memantapkan lagi pengurusan Pejabat Dewan. Para kakitangan telah dipecahkan kepada empat kumpulan bagi melontarkan pandangan dan idea untuk menambahbaik pengurusan yang sedia ada.  

 
 
 
 
 
 

Lawatan Kerja UPMN

Ditulis pada .

 
KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Kerajaan Terengganu akan menaik taraf sistem pengurusan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 4 April ini menggunakan sistem digital.
 
Yang Dipertua DUN, Haji Yahaya Ali berkata, penambahbaikan menggunakan teknologi baharu bagi tujuan meningkatkan kecekapan sepanjang persidangan itu akan melibatkan soalan dewan yang dihantar melalui portal khas, seterusnya kepada pengurusan soalan serta jawapan persidangan.
 
 
 
“Setiap Ahli Dewan juga akan dibekalkan dengan komputer sepanjang persidangan supaya mereka lebih mahir dari segi pengurusan dewan,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pejabat Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.
 
 
Beliau menegaskan pemerkasaan sistem penyiaran sidang DUN itu bertujuan memastikan pengurusan dewan tersusun dan lebih terkehadapan.
 
“Lawatan ini adalah proses melengkapkan pakej persiapan persidangan yang akan berlangsung nanti.
 
“Lawatan ini juga akan dilakukan ke jabatan-jabatan yang berkait dengan Dewan Negeri di mana kita mengharapkan wujudnya satu kerjasama supaya kita boleh bergerak ke arah tuju yang sama,” katanya.
 
Dalam lawatan tersebut, Yahaya juga sempat meninjau infrastruktur teknologi maklumat dan menyifatkan bahagian tersebut memiliki kemudahan asas yang baik.
 
“Cuma, sistem yang menjadi pakej ini mesti melalui percubaan dan terbukti berfungsi dengan baik untuk digunakan. Kita juga merancang menaik taraf beberapa infrastruktur untuk meingkatkan perkhidmatan,” katanya.