Tenpin Bowling

Ditulis pada .

 
 
KUALA TERENGGANU,  29 November - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Haji Yahaya Ali serta Ahli-ahli DUN bersantai mengadakan pertandingan '10 Pin Bowling' (Ten-Pin Bowling) bagi menjalinkan hubungan mesra antara mereka. 
 
Ini membuktikan hasrat Kerajaan Terengganu menghentikan politik 'baloh' antara pihak pembangkang (Barisan Nasional-BN) dan kerajaan (PAS) benar-benar direalisasikan. 
 
 
 
Jalinan kemesraan itu berlaku dalam pertandingan campuran antara ADUN Kerajaan dan Pembangkang seolah-olah tiada istilah pembangkang di negeri Terengganu sama ada dalam Persidangan DUN yang baru selesai kelmarin dan dalam program tersebut.
 
Kenyataan itu disuarakan sendiri oleh Menteri Besar dan Yang Dipertua DUN ketika berucap di akhir majlis pertandingan mahabbah itu. 
 
Sementara itu,  Team 31 diisytiharkan sebagai pemenang tempat pertama Pertandingan 'Ten-Pin Bowling' anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Tingkat 8, Paya Bunga Square, Jalan Tengku Embong Fatimah di sini kelmarin. 
 
Pasukan tersebut berjaya mendapat 640 markah. 
 
Team itu disertai oleh Menteri Besar,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,  Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Yahaya Ali. 
 
Sementara Team 29 mendapat tempat kedua, terdiri dari ADUN (PAS) Ladang,  Dato' Tengku Hassan Tengku Omar,  ADUN (BN) Seberang Takir,  Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan ADUN (BN) Bukit Besi,  Haji Roslee Daud dengan memperoleh 633 markah. 
 
Sementara Team 33 memenangi tempat ketiga dengan mendapat 632 markah. 
 
Team itu terdiri dari ADUN (BN) Batu Rakit,  Haji Bazlan Abd Rahman,  ADUN (PAS) Manir,  Haji Hilmi Harun dan ADUN (PAS) Sura,  Haji Wan Hapandi Wan Nik. 
 
Sebanyak dua hadiah khas juri dipertandingkan termasuk pemain paling banyak jatuhan pin dan paling terendah perolehan markah. 
 
Sebanyak 11 pasukan berentap dalam pertandingan tersebut. 
 
     
 

Sidang Dun 14 kali kedua penggal pertama

Ditulis pada .

 

 
KUALA TERENGGANU,  29 November - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali kedua, penggal pertama selama 5 hari yang baru berlalu banyak mencatit sejarah. Buat     pertama kalinya persidangan memberi laluan membincangkan perkara     mustahak bagi orang ramai (di bawah perkara 30 peraturan tetap dewan) mengenai isu ICERD dan dewan meluluskannya sebulat suara.
 
 
Keduanya ia mencatit sejarah negara apabila seorang wanita dilantik     menganggotai DUN mengikut fasal 27 (2) undang-undang diri kerajaan Terengganu (undang-undang tubuh negeri) dengan tidak melalui proses pilihanraya.
 

Mudah-mudahan Terengganu Darul Iman terus bergerak maju, berkat, sejahtera.

 
     

 

Sambutan Wira

Ditulis pada .

PANDELELA Rinong (tengah) disambut meriah oleh para peminatnya sekembali dari Sukan Olimpik London 2012 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

SEPANG - Pemenang pingat gangsa Olimpik, Pandelela Rinong kelihatan begitu penat tetapi terharu dengan sambutan paling meriah buat kali pertama dalam kariernya oleh kira-kira 300 peminat yang menunggunya sejak pukul 7 pagi lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam semata-mata mahu mengucapkan tahniah kepadanya.

Pandelela, 19, yang merasai perasaan selaku 'bintang popular' apabila orang ramai tidak henti-henti mahu bergambar bersamanya.

Ketibaan Pandelela disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Gan Ping Sieu.

Namun tiada apa yang lebih menggembirakan apabila Pandelela dikejutkan dengan kemunculan bapa dan ibunya, Pamg Joheng dan Hartini Lamim yang diterbangkan khas oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menyambut anak kesayangan mereka.

Pandelela dan skuad akuatik tiba di tanah air bersama ketua kontinjen Tun Ahmad Sarji dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.

Atlet lain yang kembali ke tanah air termasuk Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee, Huang Qiang, Cheong Jun Hoong, Traisy Vivien Tukiet, Wendy Ng Yan Yee dan perenang tunggal, Khoo Cai Lin.

Pandelela mahu topik terjun lenyap dari fikirannya untuk dua minggu berikutnya, tempoh dia dibenarkan ketua jurulatih Yang Zhuliang untuk bercuti.

"Jurulatih beri saya cuti dua minggu," katanya penuh teruja.

Ditanya perancangannya sepanjang bercuti, katanya: "Saya ada pelbagai rancangan termasuk dengan kawan-kawan tetapi terlebih dahulu semestinya bersama sekeluarga. Tempatnya adalah rahsia," katanya.

Biarpun sudah mengukir nama dalam sejarah negara apabila meraih gangsa pada Sukan Olimpik London yang menutup tirai kelmarin, namun ratu terjun negara itu tetap tidak mahu mendabik dada sebaliknya selesa dengan sikap merendah diri.

Pandelela turut berharap perwatakan asalnya tidak berubah pada masa akan datang sebaliknya kekal positif dan cemerlang dalam kariernya.

"Saya ucapkan terima kasih buat semua yang terlibat dan menyokong termasuk keluarga saya yang tidak putus-putus memberikan semangat kepada saya.

"Pengalaman paling bermakna diperolehi pada penyertaan Olimpik London adalah dapat memberikan saingan kepada jaguh-jaguh terjun dunia.

"Perwatakan saya tidak akan berubah sungguhpun telah meraih kejayaan sebegini kerana saya lebih selesa dengan sikap merendah diri dan saya harap perwatakan tersebut akan terus kekal," katanya.