SIDANG MEDIA

Ditulis pada .

 

KENYATAAN SIDANG MEDIA

PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI TERENGGANU

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA

DEWAN UNDANGAN NEGERI KEEMPAT BELAS

Dewan Undangan Negeri Terengganu ingin memaklumkan mengenai status Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.  Persidangan Pembukaan Penggal Ketiga Bagi Mesyuarat Pertama ini sebagaimana yang dijadualkan  berlangsung pada  23 hingga 26 Mac 2020. 

Bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia mengenai wabak Covid-19 yang sedang melanda ketika ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini akan  berlangsung tanpa Istiadat Pembukaan oleh Kebawah DYMM Tuanku Al-Sultan seperti tahun-tahun sebelum ini. Kebawah DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah tidak akan berangkat. Walau bagaimanapun, Baginda akan menghantar Perutusan Bertulis kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang bakal bersidang.  Hal ini dibolehkan menurut Peraturan 37 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu. 

Ingin dimaklumkan juga, persidangan akan diadakan pada Isnin, 23 Mac 2020 dan berlangsung  separuh hari sahaja. Menurut Perkara 16(1), Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menetapkan Tertib Pekerjaan Dewan mengikut pertimbangan beliau. Bagi persidangan kali  ini juga pihak pentadbiran Dewan Undangan Negeri tidak akan melibatkan ketua-ketua jabatan serta pemerhati.  Persidangan ini hanya akan dihadiri oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sahaja. 

Yang di-Pertua

Dewan Undangan Negeri Terengganu