Lawatan Kerja UPMN

Ditulis pada .

 
KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Kerajaan Terengganu akan menaik taraf sistem pengurusan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 4 April ini menggunakan sistem digital.
 
Yang Dipertua DUN, Haji Yahaya Ali berkata, penambahbaikan menggunakan teknologi baharu bagi tujuan meningkatkan kecekapan sepanjang persidangan itu akan melibatkan soalan dewan yang dihantar melalui portal khas, seterusnya kepada pengurusan soalan serta jawapan persidangan.
 
 
 
“Setiap Ahli Dewan juga akan dibekalkan dengan komputer sepanjang persidangan supaya mereka lebih mahir dari segi pengurusan dewan,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pejabat Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.
 
 
Beliau menegaskan pemerkasaan sistem penyiaran sidang DUN itu bertujuan memastikan pengurusan dewan tersusun dan lebih terkehadapan.
 
“Lawatan ini adalah proses melengkapkan pakej persiapan persidangan yang akan berlangsung nanti.
 
“Lawatan ini juga akan dilakukan ke jabatan-jabatan yang berkait dengan Dewan Negeri di mana kita mengharapkan wujudnya satu kerjasama supaya kita boleh bergerak ke arah tuju yang sama,” katanya.
 
Dalam lawatan tersebut, Yahaya juga sempat meninjau infrastruktur teknologi maklumat dan menyifatkan bahagian tersebut memiliki kemudahan asas yang baik.
 
“Cuma, sistem yang menjadi pakej ini mesti melalui percubaan dan terbukti berfungsi dengan baik untuk digunakan. Kita juga merancang menaik taraf beberapa infrastruktur untuk meingkatkan perkhidmatan,” katanya.